Friday, 22 March 2013

Kenali Tokoh: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj


Perdana Menteri Malaysia
31 Ogos 1957 hingga 22 September 1970


Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan sebagai mengenangkan segala jasa dan pengorbanan beliau dalam mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah. Beliau menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama dari tahun 1957 hingga 1963 dan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1963 hingga 1970.

Tunku dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan putera ke tujuh Sultan Abdul Hamid Shah, Sultan Kedah yang ke dua puluh empat, dan Che Manjalara. Dikatakan sebagai seorang kanak-kanak yang lincah dan ceria dengan minatnya terhadap sukan. Tunku menerima pendidikan awalnya di Sekolah Debsurin, Bangkok dan Penang Free School, Pulau Pinang.

Melalui biasiswa Kerajaan Negeri Kedah, beliau melanjutkan pelajaran di St. Catherine's College, Cambridge University, di mana beliau menerima Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-undang dan Sejarah pada 1925. Pertama kali menghadapi diskriminasi kaum yang dilakukan oleh pentadbiran kolej, dikatakan mendalamkan lagi keyakinannya untuk memperjuangkan persamaan hak dan menyalakan hasratnya untuk menjadikan tanahairnya sebuah negara yang merdeka, bebas dari genggaman penjajah British.

Keupayaannya memimpin juga mula terserlah semasa di England. Menyedari bahawa pelajar Melayu di sana tidak diwakili oleh mana-mana organisasi, beliau bersama-sama pelajar-pelajar tersebut menggembleng tenaga menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain (Malay Association of Great Britain) dan menjadi Setiausaha Kesatuan yang pertama.

Selepas kembali ke tanahair, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Kedah sebagai kadet di Pejabat Penasihat Undang-undang, Alor Setar, dan kemudian sebagai Pegawai Daerah di beberapa daerah di negeri Kedah. Beliau kurang disenangi oleh sesetengah pegawai British disebabkan sifatnya yang selalu lantang bersuara mengkritik dan berusaha membawa perubahan untukmemperbaiki taraf hidup rakyat.

Niatnya untuk menyudahkan pelajaran undang-undang di Inner Temple, England pada 1938 tidak kesampaian apabila tercetusnya Perang Dunia ke dua. Beliau meneruskan pembelajarannya lapan tahun kemudian dan kembali dengan kelayakan undang-undang pada tahun 1949.

Kesedaran politik yang diperolehi hasil dari berkawan dengan pelbagai golongan dari seluruh dunia di England tidak dibazirkan begitu saja, di mana beliau dijadikan Pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Kedah selepas sahaja beliau kembali ke tanahair. Pada 26 Ogos 1951, Tunku menjadi Presiden UMNO menggantikan Dato' Onn Jaafar. Beliau menjelajah ke seluruh negara bertemu segenap lapisan masyarakat dan menyeru ke arah penyatuan. Usaha beliau dalam menyelesaikan masalah politik negara dengan mendapatkan kerjasama antara kumpulan-kumpulan etnik, menampakkan hasil dengan lahirnya Parti Perikatan pada 1955.

Di bawah pimpinannya, Perikatan memenangi Pilihanraya Umum pertama pada Julai 1955. Tunku kemudiannya dilantik sebagai Ketua Menteri Negara dan Menteri Dalam Negeri. Pada tahun 1956, beliau mengetuai misi ke London untuk membincangkan dengan pihak Kerajaan British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu. Hasil dari mesyuarat tersebut, Perjanjian Merdeka (Independent Treaty) ditandatangani di Lancaster House, London pada 8 Februari 1956 dan seterusnya Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Tunku kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, dan terus mengetuai Perikatan ke arah kegemilangan pada Pilihanraya Umum 1959, 1964 dan 1969.

Pada May 1961, Tunku menyarankan gagasan Malaysia - merangkumi Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Borneo Utara (kemudian dikenali sebagai Sabah) dan Brunei. Kesemuanya kecuali Brunei menyertai gagasan tersebut pada 9 Julai 1963. Walaubagaimanapun, Singapura menarik diri dari Malaysia pada 1965. Pada 22 September 1970 Tunku meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Tun Abdul Razak.

Tunku, yang dikurniakan tujuh orang cahayamata melalui perkahwinannya dengan Allahyarham Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, meninggal dunia pada 1990.

____
Sumber: "Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj", Bekas Perdana Menteri dalam Portal Rasmi Rasmi Pejabat Perdana Menteri Malaysia

Thursday, 21 March 2013

Kenali Jata Negara


Jata Negara Malaysia merupakan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Reka bentuk Jata Negara telah diusahakan oleh Jabatan Ukur dengan menggunakan enam warna.

Jata Negara menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan. Bintang bersama-sama anak bulan pula sebagai lambang Agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris pula sebagai lambang Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Bahagian sebelah kiri perisai menandakan Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka mewakili Melaka. Kedua-dua buah negeri tersebut adalah sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat suatu ketika dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu; warna-warna hitam dan putih adalah warna Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam, putih dan kuning warna Perak; merah, hitam dan kuning adalah warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini adalah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang asal. Dua ekor harimau juga merupakan lambang bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia. Cogan “Bersekutu Bertambah Mutu” ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

_____
Sumber: Pusat Maklumat Rakyat, Kementerian Penerangan Malaysia

Tuesday, 19 March 2013

Prasekolah

Latar Belakang

Kementerian Pelajaran Malaysia mula melaksanakan program pendidikan prasekolah annex pada tahun 1992, sebagai projek rintis berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 18 Disember 1991 yang telah bersetuju mewujudkan sebanyak 1,131 buah kelas prasekolah. Sementara itu Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Jun 2001 telah bersetuju supaya KPM meneruskan program peluasan prasekolah mulai tahun 2002. Sejak daripada itu peluasan prasekolah telah dijalankan dari semasa ke semasa mengikut dasar sedia ada, NKRA Pendidikan dan juga cadangan peluasan dalam RM Ke10.

Dasar Pendidikan Prasekolah

Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan bahawa Sistem Pendidikan Kebangsaan merangkumi Pendidikan Prasekolah, Pendidikan Rendah, Pendidikan Menengah, Pendidikan Lepas Menengah dan Pendidikan Tinggi. Menjadi tanggungjawab KPM untuk memberi perhatian yang serius kepada pembangunan pendidikan prasekolah di negara ini. Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan aspek-aspek penting mengenai prasekolah, iaitu penubuhan tadika, kuasa Menteri menubuh dan menyelenggara tadika, kurikulum prasekolah, bahasa pengantar, pengajaran Agama Islam dan sebagainya.

Dari segi pendemokrasian pendidikan, dasar yang khusus membolehkan kanak-kanak menikmati peluang pendidikan prasekolah tanpa mengira pendapatan keluarga, kawasan tempat tinggal dan kumpulan etnik termasuk kanak-kanak dengan keperluan pendidikan khas (Children With Special Education Needs).

Di antara prinsip-prinsip asas dasar ialah menyediakan kemudahan pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak yang berumur antara 4 dan 6 tahun. Memastikan penggunaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan. Guru-guru prasekolah hendaklah mempunyai latihan dalam bidang pendidikan prasekolah. Memastikan kemudahan fizikal dan peralatan bersesuaian dan berkualiti dibekalkan. Satu mekanisma naziran dan penyeliaan dijalankan. Kerajaan juga memastikan semua institusi pendidikan prasekolah mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan Prasekolah 1996 seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 24, Akta Pendidikan 1996.

Konsep Pendidikan Prasekolah

Pendidikan Prasekolah adalah satu program yang menyediakan pengalaman pembelajaran kanak-kanak yang berumur 4+ hingga 6 tahun dalam jangka masa satu tahun atau lebih sebelum memasuki ke Tahun Satu.

Matlamat Pendidikan Prasekolah

Pendidikan prasekolah bertujuan untuk menyuburkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah.

Objektif Pendidikan Prasekolah
  • Mempunyai sifat peribadi, perwatakan dan konsep diri yang positif untuk menjadi warganegara yang patriotik,
  • Menggunakan Bahasa Melayu dengan betul dan memperkembangkan kemahiran berbahasa dan berkomunikasi,
  • Menggunakan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kedua,
  • Mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian berasaskan ajaran agama,
  • Mempunyai kemahiran kognitif untuk berfikir dan menyelesaikan masalah,
  • Mempunyai kematangan emosi dan kemahiran sosial,
  • Mempunyai daya kreativiti dan estetika untuk menghargai keindahan alam dan warisan budaya.
  • Menggunakan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dengan betul untuk berkomunikasi di sekolah yang menggunakan bahasa pengantar Bahasa Cina dan Bahasa Tamil
  • Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam.
Pemilihan Murid
  • Syarat-syarat kemasukan murid ke kelas parsekolah adalah seperti Surat Siaran Kementerian Pelajaran Malaysia Bil. 2 Tahun 2012 - Hanya untuk Warganegara Malaysia sahaja dan dipilih menerusi JK Pemilihan.
  • Jawatankuasa Pemilihan murid dianggotai oleh Guru Besar, Penolong Kanan, Guru Prasekolah, Guru Tahap 1 dan 2, PPM dan seorang wakil komuniti.
Jenis-Jenis Bantuan
  • Bantuan makan murid (RM1.80 sehari bagi Semenanjung / RM2.05 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan. Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 8 Tahun 2012, Garis Panduan Pengurusan Kewangan Peruntukan Bantuan Persekolahan Kepada Sekolah Berdasarkan Per Kapita Murid)
  • Peruntukan PCG Murid (RM100.00/ murid setahun)
  • Bantuan Kokurikulum (RM25.00/ murid setahun)
  • Bayaran Takaful (RM1.50/ murid setahun)
Bagi keterangan lanjut, sila hubungi;

Sektor Pengurusan Prasekolah, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian
Aras 3, Blok E2, Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 Putrajaya
Tel: 03-8884 9585 / Fax: 03-8884 9493

_____
Sumber: Sektor Pengurusan Prasekolah, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian